AKINABALU BANGKIT!
“Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu,
Tinggi lagi sayang sama kamu,
Biru-biru hujung Kinabalu,
Tengok dari jauh hati saya rindu.”
Sayu mendengar bait-bait lagu ‘Sayang Kinabalu’ dendangan Kimin Mudin sepanjang perjalanan pulang dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. 6 Jun 2015, sehari selepas gempa Sabah mencalarkan Akinabalu. Belum pun bumi Sabah ku tinggalkan, namun hati sudah rindu untuk kembali..
Mengimbau kenangan 20 tahun dahulu, ajaklah ke gunung mana sekalipun, tak pernah aku tolak. Sememangnya zaman universitiku dipenuhi dengan kegiatan lasak. Malah boleh dikategorikan ‘hardcore’ dalam ekspedisi pendakian dengan rekod tujuh gunung tertinggi (G7) di Semenanjung Malaysia yang telah berjaya ditawan.
Berdasarkan rekod cemerlangku ini, seharusnya pelawaan yang dibuat oleh teman baik ku untuk kembali beraksi di Gunung Kinabalu seharusnya aku terima tanpa banyak soal. Namun, tempoh bersara dari dunia pergunungan selama 20 tahun, status seorang ibu beranak empat dan saiz badan yang sudah jauh tersasar…keputusan mendaki semula sememangnya satu keputusan yang sangat sukar dibuat.
Aku mula menyusun strategi untuk kembali aktif bersukan sebagai persediaan fizikal mahupun mental. Memang ku akui, agak sukar kembali aktif saat tanggungjawab lain juga memerlukan perhatian. Akhirnya, setelah hampir setahun persiapan mental dan fizikal, tibalah tarikh yang ditunggu-tunggu. Tapi, siapa sangka, walau serapi mana persiapan yang telah dibuat, ada perancangan lain yang lebih Agung telah sedia menanti..
“Lari! Lari! Cepat turun! Selamatkan diri!”
Masih terngiang-ngiang jeritan pagi 5 Jun 2015 diselang-seli bunyi letupan dan jeritan di sini sana. Kami yang terpinga-pinga bertebaran lari tanpa arah tujuan. Bumi bergegar. Angin bertiup kencang. Bumi tiba-tiba diselimuti asap tebal. Ya Allah! Kiamatkah ini?
Saat dikumpulkan di kawasan lapang, barulah kami dimaklumkan yang bumi Sabah dilanda gempa! Dari kaki gunung di Mesilau, Akinabalu yang tercalar dan patah riuk jelas dapat dilihat. Ya Allah, bagaimana dengan para pendaki di puncak? Atau mereka yang sedang dalam perjalanan turun?
Semua pendakian dibatalkan serta merta. Kami diarah berjalan keluar ke perkampungan terdekat untuk dibawa keluar ke Kota Kinabalu. Telefon mula berbunyi bertalu-talu. Panggilan demi panggilan diterima daripada keluarga dan rakan-rakan yang sememangnya risau dengan keadaan kami.
Berita mula diterima mengenai rakan-rakan pendaki yang terkandas dan yang terkorban. Allah! Kalaulah aku pun sudah memulakan pendakian tadi, sudah pasti namaku juga antara yang akan tertera di dada-dada akhbar. Namun, masih diberi peluang kedua!
Itu cerita tahun 2015, saat getir Akinabalu terluka. Dan, ketika itu, aku berada di kaki gunung untuk memulakan pendakian. Hari itu juga, Akinabalu rebah. Seakan dapatku saksikan lukanya, calarnya dan semangatnya yang seakan hilang bersama terkorbannya 18 nyawa.
Kalau melihat dari sudut pandang negatif, seakan ada sesuatu yang ingin disampaikan. Baru mahu memulakan semula pendakian setelah pencen selama 20 tahun, tiba-tiba dilanda musibah. Belum dikira kos pakej pendakian, tiket kapal terbang dan penginapan yang sudah lebur bersama impian menawan puncak tertinggi! Petanda buruk kata orang tua-tua.
Tapi, hakikatnya Akinabalu masih tegak berdiri! Dan setiap kali itu, terasa lambaiannya bagai memanggil aku untuk kembali. “Aku sudah bangkit dari luka yang parah. Kenapa engkau pula yang perlu mengalah?” Bayangannya begitu kuat menghantui. Sehinggalah tindakan nekad dibuat. 2016, Kinabalu akan kutawan!
Sekali lagi, aku bermain lagi dengan takdir. Ya! Aku kembali lagi, tapi kali ini Akinabalu berkata, “Kau belum sedia untuk berada di puncakku!” Diserang Altitude Mountain Sickness (AMS), aku hanya mampu mendaki sehingga Laban Rata sahaja. Sedihnya hanya Tuhan yang tahu. Kecewanya pendakian kali kedua itu sampaikan sijil hitam putih yang kuterima pun tak mahu aku lihat. Ah! Lebih baik buang saja.
Itu pula cerita 2016, ketika cubaan kali keduaku juga gagal. Rasanya, ada tak yang segila aku untuk masih meneruskan cubaan pada tahun berikutnya? Jawapannya, memang aku gila! Buktinya, 2017, dengan bergaya, dan tentunya dengan persediaan yang lebih mantap, akhirnya puncak Akinabalu berjaya jua ditawan! Cubaan kali ketiga berturut-turut!
Aku juga masih meneruskan minatku dalam bidang pendakian. Dan telah berjaya mengekalkan rekod cemerlang sewaktu zaman universiti dengan tambahan 5 puncak tertinggi, melengkapkan koleksi 12 puncak tertinggi (G12) di Malaysia.
Kalaulah semangatku juga rebah bersama gempa di Akinabalu tempoh hari, sudah pasti aku tidak sampai ke tahap ini. Bukan petanda buruk yang cuba Allah sampaikan, tapi ujian Allah untuk melihat adakah aku bersungguh-sungguh mencapai impianku.
Sepanjang pengembaraan menjejak puncak-puncak tertinggi, banyak hikmah dan ibrah yang ku kutip satu persatu menjadi pengalaman berharga. Bukan calang-calang orang yang boleh melalui pahit getir ini. Teringat kata hikmah seorang malim gunung yang aku kagumi, “Sekiranya kamu berjaya harungi kesusahan sewaktu mendaki ini, tidak ada sebarang kesusahan dalam hidup ini yang tak boleh kamu hadapi. Percayalah!”
Bukan Akinabalu yang bangkit dari parah lukanya. Tapi, aku sebenarnya yang bangkit dengan penuh yakin. Tiada apa yang mustahil dalam hidup ini!